Tuesday, 20 April 2010

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?


Baca sampai habis. Artikal ini diambil dari email dan saya lupa nama penulis asal.
ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?
Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

Saturday, 30 January 2010

salleh kamil




Dipetik dari Wikipedia Bahasa Melayu
Salleh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Salleh Kamil ialah seorang pelakon Malaysia. Dia dilahirkan pada 24 April 1924 di Singapura. Beliau mendapat pendidikan di Madrasatul Muqtabian sebelum mula bekerja di Studio Jalan Ampas di Singapura.

Penglibatan dan Kerjaya Seni
Watak berdialog pertamanya ialah melalui filem Miskin arahan K M Basker pada 1952 sebagai pelawak, diikuti Sedarah (S Ramanathan) memegang peranan jahat.

Minatnya berputik selepas berkenalan dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Watak pertamanya hanyalah sebagai seorang penari. Ketika itu, Salleh muncul dalam filem Penghidupan arahan L. Krishnan. Beliau juga pernah melakonkan watak baik dalam filem Lela Manja serta watak lawak dalam filem Tiga Abdul yang membawa watak Tuan Penasihat, seorang lelaki batu api yang berkomplot dengan Sadiq Segaraga (lakonan Allahyarham Ahmad Nesfu). Selain berlakon, Salleh turut menjadi tenaga pengajar babak pergaduhan kepada beberapa pelakon termasuk Jins Shamsuddin, Aziz Jaafar dan Ahmad Mahmud.

Pada 1967, Salleh muncul dalam filem Raja Bersiong arahan Jamil Sulong. Walaupun MFP ditutup tahun itu, beliau terus menetap di Boon Teck Road sehingga 1973.

Kematian
Beliau berkahwin sebanyak dua kali dengan isteri pertama Zahrah Pagi, dan isteri kedua Jumini Simin. Mempunyai 18 orang anak, 40 cucu dan tujuh cicit.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 4 Julai 1998 dalam usia 74 tahun kerana sakit tua.

-------
Dipetik dari majalah BPOP
Salleh Kamil pelakon watak jahat paling menyerlah
Oleh Hardi Effendi Yaacob


Salleh Kamil



MUNGKIN ramai generasi muda hari ini tidak kenal asiapa aktor hebat Salleh Kamil? Salleh bukan saja pelakon saja berbakat besar menerusi watak antagonis, malah mampu menghidupkan watak jahat yang dilakonkannya hingga meninggalkan kesan cukup mendalam di kalangan penonton menyebabkan ramai yang benci pada dirinya di luar filem.

Malah, beliau dilabel sebagai pelakon berwatak jahat paling berjaya dalam sejarah filem Melayu.

Lakonan jahatnya memang berkesan, terutama ketika membawakan sebagai Kapitai, tali barut Tentera Jepun dalam filem perang, Sergeant Hassan, yang turut menampilkan Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee sebagai pelakon utama dan pengarah filem berkenaan.

Kehebatan Salleh di layar perak, terutama dalam membawakan watak jahat memang tidak dapat ditandingi, malah beliau sendiri mengaku pernah diludah dan dilontar batu oleh peminat kerana membenci watak lakonannya.

Salleh atau nama sebenarnya, Salleh Abdullah, meninggal dunia pada 4 Julai 1998 di Singapura ketika berusia 74 tahun. Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Jumini Jimin, akibat sakit tua.

Sebelum menceburi filem, Salleh bekerja sebagai pemandu teksi. Beliau mencuba nasib bersama Nordin Ahmad menghadiri uji bakat menjadi pelakon di Singapura.

Peranan pertama Salleh menjadi penari dalam filem Penghidupan arahan L Krishnan (kini Datuk). Kemudian KM Basker menonjolkan Salleh sebagai pelawak dalam filem Miskin sebelum S Ramanathan memberi watak jahat kepadanya dalam Sedarah.

Ternyata, watak jahat serasi pada dirinya, lalu silih berganti beliau diberi imej itu dalam filem seperti Penarik Beca, Anakku Sazali, Sarjan Hassan, Isi Neraka, Sumpah Orang Minyak dan Semerah Padi.







Ahmad mahmud



Datuk Ahmad Mahmud merupakan seniman/pelakon Melayu yang telah mewarnai bidang perfileman di Malaysia era 1960-1980-an. Ahmad Mahmud dilahirkan di Rembau, Negeri Sembilan.

Penglibatan dan Kerjaya Seni
Sejak 1951, beliau terlibat dalam filem Matahari sebagai pelakon utama kerana ketampanannya. Pada tahun 1956 beliau melakonkan watak Hang Jebat dalam filem Hang Tuah bersama Tan Sri P.Ramlee. Beliau berlakon dalam lebih 20 filem Melayu. Antaranya ialah Istana Impian, Hang Tuah, Ibu Mertuaku, Dayang Senandung, Isi Neraka, Raja Bersiong dan Lela Manja.

Selepas lama berlakon, beliau beralih arah kerjaya sebagai pengarah, penerbit, cerita dan lakon layar asal dalam empat buah filem iaitu Mama Oh Mama (1981), Dendam Dari Pusara (1983), Mei 13 dan Komplot (1984).

Kematian
Ahmad Mahmud telah menghembuskan nafas terakhir pada 27 Ogos 2008 di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor ketika berumur 85 tahun setelah menderita penyakit buah pinggang sejak 2001. Beliau pernah menerima rawatan di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar sejak 22 Julai 2008 . Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara. Beliau meninggalkan balu Datin Hadijah Mohamad dan tiga orang anak.




Poster Ibu mertuaku

Di ambil dari ms.wikipedia.org

Ahmad Nesfu


dipetik dari ms.wikipedia.org

Ahmad Nesfu adalah salah seorang pelakon filem Melayu. Ahmad Nesfu turut dikenali dengan panggilan 'Pak Besar' kerana memiliki hidungnya yang besar. Ahmad Nesfu berasal dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang, dan mula terbabit dalam bidang seni sebagai seorang pelakon bangsawan. Sementara diluar lokasi pula, beliau juga diakui sebagai Tok Bilal di surau Onan Road berhampiran syarikat produksi.
Antara lakonan beliau yang paling diingati ialah ketika beliau berlakon dalam filem Seniman Bujang Lapok, di mana beliau memegang peranan sebagai Director Ahmad Nesfu berlakon dengan P. Ramlee. Ahmad Nesfu adalah salah seorang seniman yang dikagumi oleh P. Ramlee.
Pada penghujung hayatnya, beliau hidup berteduh di kubu Jepun di Jalan Labu tidak jauh dari Masjid Aminah di Jalan Nanas off Geylang Serai. Tidak lama kemudian dia meninggal, setelah beberapa lama hidup sebatang kara dalam penuh kedaifan. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya. Amin! al Fatihah!


Wednesday, 30 December 2009

Pemanduan dalam Hujan

Dipetik dari http://protonexora.com.my/forum/index.php?topic=1354.0

Dapatkah anda memandu kereta semasa hujan lebat? Bagaimana pandangan anda semasa memandu dalam hujan lebat? kabur? Atau langsung tak nampak? Adakah anda mengalami kesukaran memandu semasa hujan lebat? Jika ya, teruskan membaca kerana kali ini saya akan mendedahkan kepada anda satu petua yang memang berkesan untuk mencerahkan pandangan memandu semasa hujan lebat.Petua ini diajarkan oleh seorang polis trafik yang sangat berpengalaman dalam aktiviti pemanduan. Beliau memang mempraktikkan petua ini dan mengesahkan keberkesanannya. Petua ini sangat berkesan walaupun pada waktu malam.Biasanya apabila hujan lebat dan pandangan menjadi tidak jelas serta kabur, ramai diantara kita ni akan ON kan WIPER dengan kelajuan yang maksimum. Zip zap zip zap zip zap…Sampai nak tercabut Wiper tu, punyalah laju. Tapi kesannya? Masih tidak mencukupi. Sungguhpun kelajuan Wiper di tahap yang maksimum, pandangan masih kelabu dan tidak jelas.Haaa sekarang saya akan dedahkan petua ajaib bagaimana anda dapat menyelesaikan masalah ini. Senang saja. Anda hanya memerlukan SPEK MATA HITAM atau dalam bahasa omputih nya ‘SUN GLASSES’. Yaa dengan hanya memakai spek mata hitam, pandangan anda semasa hujan lebat pasti akan menjadi lebih jelas. Tak caya? Cubalah!!! Spek mata hitam jenis apa pun tak kisah. Samaada yang harga beratus2 RM ker atau yang beli kat pasar malam, semuanya berkesan. Cubalah petua ini dan beritahu kepada rakan2 anda sekiranya ianya memang berkesan. Pastikan anda meletakkan sekurang2nya satu spek mata hitam dalam kereta anda. Nanti kalau hujan, senang. Boleh terus pakai. Tak payah nak ON viper tu laju2. Kalau hujan, terus saja pakai spek mata hitam tu dan pandangan anda menjadi lebih jelas dan tidak kabur. Kalau ada duit, beli la spek mata yang berkualiti. Tapi kalau dah pokai sangat, beli saja spek mata kat pasar malam tu. Harganya dalam RM10 jer…malah ada yang berharga RM5 jer.

Tuesday, 29 December 2009

Teknoloji Enjin Campro

Dipetik dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.
Enjin Campro ialah enjin kereta pertama yang dikeluarkan oleh pembuat kereta Malaysia, Proton dengan kerjasama Lotus. Nama Campro ialah kependekan bagi Cam Profile (Profil Sesondol). Enjin ini digunakan dalam model-model kereta Proton bermula dengan Proton Gen-2 diikuti model-model lain termasuk Proton Satria Neo, Proton Waja dan Proton Persona. Enjin ini dibina sebagai membuktikan kemampuan Proton untuk membina enjin yang berkuasa dan mematuhi piawaian emisi yang ketat.

Enjin Campro di dalam ruangan enjin kereta Proton Gen-2
Apakah Enjin DOHC asas
Enjin Campro DOHC asas dikeluarkan dalam 2 sesaran enjin iaitu 1.6L (S4PH) dan 1.3L (S4PE). Semasa peringkat pembangunannya, enjin ini dipasang pada Proton Waja yang digunakan khas untuk ujian jalan raya. Enjin ini mula digunakan pada Proton Gen-2. Walaupun enjin tersebut kelihatan berkuasa pada kelajuan enjin tinggi, namun pengguna awal Gen-2 mengalami masalah kekurangan kilasan terutamanya untuk mendaki bukit semasa kelajuan enjin sekitar 3,000 ~ 3,500 rpm disebabkan penurunan kilasan pada kelajuan tersebut sebelum meningkat semula ke 148 N-m pada 4,000 rpm. Akibatnya, pemandu terpaksa banyak menukar antara gear 2 dan 3 semasa mendaki bukit. Masalah ini diselesaikan dengan pemetaan semula ECU enjin tersebut pada tahun 2005.
S4PH
Kuasa kuda maksimum: 110 bhp (82 kW) @ 6,000 rpm
Kilasan maksimum: 148 N-m @ 4,000 rpm
Lubang x lejang: 76 x 88 mm
Sesaran enjin: 1598 cc
S4PE
Kuasa kuda maksimum: 94 bhp (70 kW) @ 6,000 rpm
Kilasan maksimum: 120 N-m @ 4,000 rpm
Lubang x lejang: 76 x 73.4 mm
Sesaran enjin: 1332 cc
Enjin Campro CPS dan VIM
Sebagai tambahan kepada enjin DOHC asas sedia ada, Proton juga sedang membangunkan enjin CPS (Penukaran Profil Sesondol) dan VIM (Rongga Masukan Boleh Laras). Teknologi CPS adalah teknologi pemasaan injap boleh laras yang dibangunkan serupa dengan teknologi VTEC oleh Honda dan VVT-i oleh Toyota, tetapi bezanya ialah CPS menukar profil sesondol dengan menggunakan tapet tindakan terus dengan pin pengunci manakala VTEC dan VVT-i pula menggunakan lengan jumpelang dengan pin pengunci. Mekanisme CPS bertindak pada 3,800 rpm, tetapi pada Proton Satria Neo CPS pula penukaran berlaku pada 4,400 rpm.

Enjin Campro CPS 1.6 mampu menghasilkan sehingga 125 kuasa kuda (127 PS; 93 kW) pada 6,500 rpm serta meningkatkan nilai kilasan kepada 150 N-m @ 4,500 rpm yang berterusan sehingga 5,000 rpm. Proses pembangunan enjin ini sering mendapat kritikan di kalangan peminat automotif kerana sering tertangguh walaupun jadual asal bagi penggunaan teknologi sedemikian sepatutnya mula digunakan pada tahun 2005. Enjin Campro CPS hanya akan mula digunakan bermula dengan model Proton Gen-2 dan Proton Waja tahun 2008.


Kedua-dua teknologi CPS dan VIM saling bergandingan dan berfungsi dalam 3 mod berbeza seperti berikut:-


Kelajuan enjin rendah (3,800 rpm ke bawah): Sesondol rendah digunakan dan udara masuk melalui rongga masukan panjang untuk percampuran udara-bahan api yang lebih baik, seterusnya menjimatkan bahan api serta menghapuskan junaman kilasan pada rpm rendah.


Kelajuan enjin sederhana (3,800 ~ 4,800 rpm): Sistem CPS menukar profil sesondol dari sesondol rendah ke sesondol tinggi, membolehkan lebih banyak campuran udara-bahan api masuk dengan lebih lawas, sekaligus menyumbang kepada kuasa maksimum yang lebih tinggi.


Kelajuan enjin tinggi (4,800 rpm ke atas): Sistem VIM menukar aliran udara kepada rongga masukan pendek dan lurus.


Selain enjin 1.6L, enjin Campro CPS juga terdapat dalam versi 1.8L, tetapi setakat 30 April 2008 ia masih belum digunakan pada mana-mana model kereta Proton sebaliknya membuat penampilan sulungnya di dalam sebuah hoverkraf buatan Malaysia.


Enjin Campro IAFM

Enjin Campro 1.3L IAFM yang dipasang pada Proton Saga generasi kedua.
Secara ringkasnya, enjin Campro IAFM adalah enjin asas Campro DOHC yang dipasang dengan sistem rongga masukan boleh laras, dikenali sebagai modul IAFM (Modul Masukan Udara-Bahan Api), mula dibangunkan bersama-sama oleh Proton, Bosch dan EPMB pada April 2005. Walau bagaimanapun, perbezaan antara IAFM dengan sistem VIM pada enjin Campro CPS adalah seperti berikut:-
IAFM adalah modul tunggal yang boleh dipasang terus pada enjin asas DOHC tetapi VIM pula perlu berfungsi seiringan dengan sistem CPS pada enjin CPS.
IAFM berfungsi menggunakan tekanan vakum enjin manakala VIM berfungsi menggunakan solenoid elektrik kawalan ECU.
Enjin Campro IAFM mula digunakan pada generasi kedua Proton Saga yang dilancarkan pada Januari 2008. Enjin 1.3L tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum 98 bhp @ 6,500 rpm. Kilasan maksimum menurun sedikit kepada 113.2 N-m, tetapi banjaran kilasan pada enjin IAFM tersebut adalah lebih lebar serta masalah kemerosotan daya kilasan yang biasa dihadapi pada RPM pertengahan telah dapat ditangani sepenuhnya.
Sementara itu, versi 1.6 liter pula menghasilkan 110 bhp @ 6,500 rpm dan kilasan sekuat 148 N-m @ 4,000 rpm, dan masalah junaman kilasan pada versi DOHC asas telah dapat ditangani sepenuhnya. Enjin 1.6L IAFM ini mula digunakan pada kereta Proton Gen-2 M-line dan Proton Persona mulai tahun 2008.


Enjin Campro 1.3L IAFM yang dipasang pada Proton Saga generasi kedua.

Enjin Campro hibrid
Proton dan Lotus telah mengumumkan model prototaip kereta Proton Gen-2 yang menggunakan enjin Campro hibrid semasa Pertunjukan Kereta Geneva 2007[7][8]. Sistem enjin hibrid tersebut dikenali sebagai EVE (Cekap, Berdaya Saing, Mesra Alam). Ia menggunakan enjin S4PH sedia ada dan digandingkan dengan motor elektrik 144 V, 30 kW. untuk membolehkan sistem tersebut digunakan pada semua model sedia ada Proton tanpa perlu membangunkan platform baru yang berasingan bagi model kereta hibrid.
Data teknikal sistem hibrid tersebut adalah seperti berikut:-
Kuasa kuda maksimum (enjin sahaja): 110 bhp (82 kW) @ 6,000 rpm
Kilasan maksimum (enjin sahaja): 148 N-m @ 4,000 rpm
Kuasa kuda maksimum (gabungan): 141 bhp (105 kw) @ 5,500 rpm
Kilasan maksimum (gabungan): 233 N-m @ 1,500 rpm (dihadkan ke 180 N-m berterusan) ] Enjin Campro turbo
Pada 13 Disember 2008, Pengarah Urusan Proton Datuk Syed Zainal Abidin telah membuat pendedahan bahawa Proton sedang membangunkan versi turbo bagi enjin Campro 1.6 L yang bakal diperkenalkan sekitar tahun 2010-2011. Enjin ini dibangunkan sebagai tindak balas kepada trend pasaran baru di mana enjin bersesaran kecil digunakan tetapi dipasang sistem pernafasan paksaan bagi menghasilkan keluaran kuasa yang setara dengan enjin yang lebih besar, satu konsep yang serupa dengan teknologi pengecas berkembar TSI pada kereta Volkswagen Golf Mk5. Tiada butiran sama ada enjin tersebut bakal dilengkapi dengan sistem pemasaan injap boleh laras CPS atau tidak, tetapi keluaran kuasa dianggarkan sekitar 150 bhp serta kilasan 240 N-m.

Perancangan masa hadapan
Buat masa sekarang, Proton sedang merancang untuk membangunkan enjin bersesaran lebih tinggi (1.8L dan 2.0L) sebagai pelengkap kepada enjin Campro 1.3L dan 1.6L sedia ada serta sedang berbincang dengan beberapa pihak luar bagi membantu pembangunan enjin. Di samping itu, Proton turut merancang untuk menghasilkan versi diesel bagi enjin Campro.